Tuesday, December 1, 2009

Hari ini dalam sejarah..

Hari ni dalam sejarah..dua tahun lepas pada hari ni (1 Dec 2007) merupakan hari yang menyatukan aku dan suami terchenta. Pk punya pk terdetik la nak masak 'Laksa Kelantan' (kononnya nak buat kejutan buat suami nak hantar laksa kat hospital sebab dia kerja shif pagi n petang). Belek2 bahan nak buat kuah laksa n sambal kat dapur.. cukup (malas nak turun naik tangga n tak perlu gi kedai). Aku pon masak la kuah laksa n buat sambalnya. Kebetulan suami telefon, so aku bagitau la dia aku nak hantar laksa. Setelah lebih kurang sejam duk kat dapur, terhasil la kuah laksa n sambalnya.

Setelah bersiap..aku gi kedai beli sayur (ulam tuk laksa) dan laksa segera (2kg) then aku pon bertolak ke Hospital Serdang untuk menghantarnya kepada suami. Sesampai je kat pintu unit dialysis aku nampak suami da sedia menunggu aku (lapar agaknya). Rupanya dia da bagi tau kawan2 dia aku nak bawak laksa..

Suami agak kehairanan kenapa aku tetiba je masak laksa (biasanya klu aku nak masak hantar makanan kat dia aku bagitau dlu @ dia yang mintak). Bila dia tanya kenapa aku hanya menjawab "hari ni dalam sejarah"..

Kepada sesiapa yang rasa nak makan "Laksa Kelantan", saya sertakan resepi untuk membuatnya di bawah ni. Selamat mencuba.




Bahan-bahan tuk buat Laksa Kelantan

Laksa segera (1 paket)
  • Bahan kuah: -Ikan (direbus,dibuang tulang) (5 ekor-klu kecik), halia (1/2 inci), bwg putih (4 ulas), bwg merah (6 ulas), lada hitam (15 bijik), santan (1 bijik kelapa), asam keping (2 keping), belacan (ckit je), sdkt garam, gula, dan aji 
  • Bahan ulam -timun,kcg panjang,taugeh,daun kesum(dipotong halus)
  • Sambal: -cili merah, tomato, lada besar, belacan , garam, gula , limau nipis 

Cara-cara:
  1. Rebus laksa segera sampai masak (kembang). Toskan. 
  2. Untuk kuah: kisar isi ikan, halia, bawang putih, bawang merah dan lada hitam (guna air rebusan ikan @ santan). Kemudian masukkan ke dalam periuk bersama santan, asam keping, dan belacan. Masak sehingga mendidih. 
  3. Untuk sambal: Semua bahan ditumbuk. 
  4. Hiris sayur macam kerabu (kecik2 n halus). 
  5. Sedia untuk di makan.

Wednesday, November 11, 2009

Lempeng

Awal pagi suamiku bangun untuk bersolat subuh di surau berdekatan kediaman kami. Dan aku pula bangun apabila di kejutkan oleh suami setelah dia pulang dari surau. Setelah mengejutkan aku, suami kembali mendapatkan mimpi indahnya sementara aku mengerjakan solat subuh.

Aku melihat jam di radio sudah menunjukkan jam 7 pagi. Lalu, aku menyediakan sarapan pagi kepada suami. Aku menyediakan air teh o panas bersama lempeng. Ini kerana lempeng adalah makanan yang paling mudah dan cepat untuk disediakan. Setelah semuanya siap aku mengejutkan suami untuk bersiap ke tempat kerjanya. Melihat jam yang sudah menghampiri 7.30 aku menyuapkan lempeng + susu kepada suami bimbang suami lewat ke tempat kerja sambil dia bersiap-siap.

Bila aku menyuapkan lempeng ke mulut suami, aku teringatkan pada arwah ibu tercinta. Setiap pagi arwah ibu akan menyuapkan kami sewaktu kami bersiap-siap hendak ke sekolah. Kebiasaannya aku lah orang yang paling cepat siap kerana aku tinggal bersama atuk dan ke rumah ibu setelah siap berpakaian sekolah untuk bersarapan pagi (nenek dah meninggal). Ibu akan bergilir-gilir menyuapkan kami 5 beradik dengan sarapan yang disediakan samada nasi, pulut kelapa, ataupun lempeng bercicah gula. Walaupun aku dah siap, ibu tetap suapkan aku kerana aku tak mahu mengotorkan tangan aku.

Pada waktu itu, aku merasakan perkara itu sangat biasa..namun hari ini kenangan itu membuatkan air mataku berlinangan di kelopak mata. Sangat rindu aku pada kenangan itu. Masih terasa manis air tangan ibu menyinggahi mulutku. Ibu…sungguh aku rindu padamu..

Monday, November 9, 2009

Episod tamat 'belajar' kat UTM...


Tidak dapat di pastikan perasaan yang menyelubungi hati sanubari aku. Gembirakah aku setelah tamat pengajian?? Pertanyaan itu menusuk2 jantung hatiku..perasaan yang bercampur baur..gembira, sedih.. semua ada.

Gembira sebab...
  • Tak perlu buat assignment lagi..
  • Tak perlu pening2 pk pasal belajar..
  • Tak payah bagun pagi..
  • Tak perlu tempuhi exam..
  • Tak perlu naik turun tangga gi kelas yang bertingkat-tingkat tu..
  • Tak payah gi pudu yang penuh dengan kesesakan..
  • Tak habis duit beli tiket balik KL hujung minggu..
  • Ble duk ngan hubby cayang..
  • Ble tdo banyak2..
  • Apa lagi ek???
Sedih sebab...
  • Berpisah ngan kawan2
  • Tak der gelak ketawa epa..ainun..mai..sarah..ama..dan kawan2 lain..
  • Rindu kat semua..
  • Tak leh nak jadik gila2 lagi..
  • Bosan gak duk umah saje2..
  • Tak le nak makan same2..
  • Ingat epa tot, ama tempe, mai k..... gedi, ainun orang tua gatal, sarah doremon..
Masa habis paper last hari tu, rasa gembira sangat2..tapi hari ni da rasa kesedihannya...

Selamat Tinggal UTM..pensyarah2..dan kawan2..semua akan sentiasa di hatiku..
SAYANG SEMUA..

Monday, October 19, 2009

Kenangan 'Direct Intake' 2009/2010 UTM

8 Oktober 2009 (4 ptg): Janji ngan jurufoto nak amik gambar pelajar 'direct intake'. Bila semua sampai jurufoto nya tak datang lak. Last2 amik gambar sendiri. Sebab bukan senang nak jumpa ramai2 macam ni. Masing2 ada aktiviti sendiri. Nasib baik ada yang bawak kamera. Yang amik guna telefon pon ada..Walaupun amik sendiri, tapi gambarnya cantik gak.. ye tak???
KAMI

BERLATARKAN MASJID

SUKE GAMBOR NI..


TEPI MASJID UTM

Belakang: YUSRI, ADAM, RAIMI, RAI, SYAFIQ, FIRDAUS, FAISAL, FIKRI,dan ADEQ.
Tengah: FAIRUZ, JAJA, NICK, JUJU, MAIZURA, AYU, INTAN, dan SYAI.
Depan: AINUN, SHILA, AMALINA, SITI*, RENUGAH, ALIFA, MUNIRAH, FIZA, dan YANIE


Friday, October 9, 2009

Praktikum..

Alifa, Pn Ros, Siti, Liza (berdiri), Amalina dan Sharifah (duduk)






Akhirnya..berlangsunglah juga program latihan yang kumpulan kami jalankan bertempat di Mecure Palm Resort Senai. Persiapan dari analisis latihan hinggalah penilaian program berjalan dengan sempurna. Rasa lega sangat2, maklumla..satu subjek da lepas. Alhamdulillah program yang kami jalankan berjalan dengan lancar. Terima Kasih kepada Puan Ros (Training Manager Mecure) yang banyak membantu kami sejak dari analisis hinggalah tamatnya program latihan ni.

Walaupun terdapat seorang daripada peserta yang datang lambat, tapi kami memulakan program latihan ni pada jam 9 pagi seperti yang kami rancangkan dengan kebenaran Pn Ros.
Peserta yang menghadiri program ni sangat memuaskan dari segi kerjasama dan lain2.

Walaupun penat aku rasa sangat gembira kerana Program ni berjalan dengan lancar. Masa tengah bagi penerangan tu, aku sampai semput sebab berdiri lama (maklumla kandungan da 7 bulan lebih). Tapi tak de la teruk sangat dan dapat habiskan modul aku dengan baik. Cuma part last sekali tu, Amalina yang handle..Program ni berakhir pada jam 2 petang.

Sebelum pulang, kami dijemput makan tengahari oleh Pn Ros...

Tuesday, October 6, 2009

Terima Kasih..



'Terima kasih Alifa'

Apa ada pada hari lahir?? Pada sesetengah orang mungkin ianya tak ada apa-apa..hanya berpendapat umur saja yang meningkat. Tapi bagi sesetengah yang lain pula menganggap hari lahir merupakan satu hari yang bermakna. Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza bergantung pada budaya keluarga, pergaulan dan sebagainya. Banyak perkara yang boleh mempengaruhi pendapat2 individu ini.
.
.
Tapi bagi aku, hari lahir merupakan satu hari yang istimewa kerana ia merupakan hari kita dilahirkan ke dunia yang penuh warna-warni ini. Bukan mengharapkan apa2 hadiah dari sesiapa, cukup sekadar ucapan 'SELAMAT HARI LAHIR'. Ini membuatkan aku merasa diri dihargai dan diingati. Terutama sekali bila ianya diucapkan oleh orang yang paling kita sayangi.
.
.
Tahun berganti tahun, ada seorang insan yang tak pernah lupa hari lahir aku. Setiap tahun dia mesti 'wish' 'SELAMAT HARI LAHIR'. Dia bukanlah orang yang asing dalam hidup aku. Walaupun tiada sebarang hadiah mengiringi ucapannya aku tetap mengingati dan menghargai dia kerana dia tidak pernah lupa hari lahirku. Dia ialah kakakku sendiri..iaitu SITI ARAHMA.
.
.
Dan tanpa disangka-sangka lepas kelas HRIS tadi, Alifa bawak kek datang bilik...terharu sangat.
Tahun ni, ucapan hari lahir pertama datangnya dari suami tercinta. Jadi, di kesempatan ini aku nak ucapkan TERIMA KASIH pada semua yang mengingati hari lahirku iaitu suami, kakak (Siti Arahma), Kak Ina (Casa), Abg Mahadir (Casa), dan kawan2 kat UTM iaitu Alifa, Fiza, Ruhidayat, Juju, Jaja, Amalina, Ainun, Mai dan sahabat2 lain yang mengingati. TERIMA KASIH.

Monday, October 5, 2009

Nak minum susu punya pasal..

Pagi tadi perut aku berkeroncong menyanyi lagu kelaparan..di sebabkan 'heater' aku rosak, so kne gi bilik member la bila perlukan air panas. Tapi sebelah bilik je (bilik alifa).

Oleh kerana nak minum susu + biskut sangat2 tanpa disedari aku amik je pendrive,susu n cawan menuju ke bilik alifa. Selesai je minum, suami aku telefon..jenuh cari kunci tak jumpe..rupa2nya, aku ambil pendrive..ingatkan da bawak kunci bilik tadi. Maklum la keychain dia tu sama..

Untuk nak dapatkan kunci bilik tu balik kne la gi pejabat asrama. Nak pegi pejabat pulak satu hal. Pakaian tak sesuai sebab aku pakai seluar panjang n t-shirt lengan pendek je.Pulak tu seluar n baju tu sedikit ketat. Mintak pinjam seluar sukan ngan alifa, tapi dia basuh lak. dia bagi skirt, bila aku pakai skirt tu senteng pulak,maklumla perut da besar n aku lebih tinggi daripada dia. Nak pinjam jubah ainun, dia da gi fakulti. so, di sebabkkan nak gi kelas aku terpaksa turun ke pejabat kolej dengan berseluar, sweater, dan tuala sebagai penutup kepala.

Bila sampai pejabat, kerani tu tengok je kat aku..pastu aku cakap nak mintak kunci. Dia pon kata "da agak dah". Mungkin orang yang tertinggal kunci pakai ntah ape2 bila ke pejabat. Malu la jugak. Tapi nak buat macam mana..da nak pergi kelas..terpaksa la..

Wednesday, September 30, 2009

24 SEPTEMBER 2009 - UNTUKMU YANG TERSAYANG


Wahai Cintaku..
Senyummu adalah bahagiaku..
Ceriamu adalah dambaku..
Gelisahmu adalah kebimbanganku..
Air matamu adalah kesedihanku..
Kaulah penglipur lara hatiku..
Dan kau jualah pengiring suka dukaku..

Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta..
Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang..
Pertautan ini berasal dari angan atas nama rindu..
Sungguh ini adalah cinta, sayang, dan rindu..
Cinta, sayang, dan rindu atas nama pengabdian kepada Rabbul Izzati..

Malam ini bintang bersinar cinta,
Bulan tersenyum sayang,
Angin mendesir rindu..
Wahai bintang, bulan dan angin..
sampaikan salam cinta, sayang, dan rinduku kepadanya..
Sungguh Aku Sangat MenCintainya Karena Allah..

SELAMAT HARI LAHIR SAYANGKU..


Pantai Bari..


Hari terakhir beraya di kampung suami..aku mengajak suami n family berkelah kat tepi pantai. Awal pagi lagi Kak Zu (kakak ipar) datang bersama suami dan anak2. Tapi aku yang mencadangkan nak pegi mandi pantai pun tak siap lagi.

Destinasi pilihan kami adalah 'Pantai Bari' yang berhampiran dengan rumah suami. Rasa tenang sangat tengok pantai yang bersih dan airnya yang jernih. Sesampai je kat pantai tu..perkara pertama yang kami buat adalah 'makan' (sarapan pagi). Kami bawak bekal nasi, ayam gulai, ikan goreng, sambal, budu, ulam petai, tembikai dan air teh 'o' panas. Semua makan banyak..maklumla..suasana lain sikit..

Habis makan..suami, ji (adik ipar), kakak Nurah dan Adi (anak buah) mandi pantai. Teringin sangat nak mandi..tapi bila Kak Zu tak nak mandi, rasa segan lak..di sebabkan kempunan sangat aku duduk je kat tepi pantai main ombak..(basah la jugak kain batik yang aku pakai tu..)

Monday, September 7, 2009

Terung masak pedas...


Lebih kurang jam 6.30 petang aku, Alifa, Sarah dan Ainun pergi ke 'cafe' untuk beli makanan berbuka. Sampai kat satu kedai tu aku dan nampak sayur terung masak pedas yang sangat sedap..lalu tanpa berfikir panjang aku pun mengambil satu plastik untuk isi sayur tersebut. Tanpa aku sedari Alifa pun mengambil sayur yang sama dan diletakkan bersama nasi dan lauk dalam 'polystyrene'. Aku tak suka letak lauk & kuah bersama nasi sebab tak nak nasi jadi kembang time buke pose.

Bila dengar azan..kami pun berbuke ramai-ramai kat bilik Ainun. Bla duk kat hostel ni tak der la kuih muihnya..lagi pula Maizura balik umah dia. Kalau tak kami gi bazar ngan kereta dia kat FAB atau luar UTM. Jadi nasi tu je la yang jadi juadah kami masa berbuke tu.

'Sedapnya sayur terung ni..Ainun, Sarah..amik la, rasa terung ni..' aku mempelawa kawan-kawanku. Lepas tu Alifa pulak yang pelawa mereka. Tapi Ainun tak seke terung..katanya berangin. Lalu aku dan Alifa je yang makan sayur tu.

Kami borak-borak la sambil makan tu..pelik dengan sorang kawan yang nama Sarah tu. Dia makan Nasi Minyak dengan KICAP. Malah katanya, disebabkan terlalu suke makan kicap dia akan makan kicap tu dengan ape-ape makanan sekali pun. Bukan setakat dengan nasi, laksa pinang pun dia letak kicap..sedap katanya..Satu botol kicap tu dia boleh habis dalam seminggu (bayangkan...).

Setelah nasi aku berbaki lebik kurang satu dua suap lagi..aku ternampak seekor lipas di dalam plastik sayur terung yang sedap tadi..Terkejut sangat2..nasi da nak habis baru perasan sebab dia duk kat bawah. riuh la bilik Ainun masa tu. Aku dengan Alifa tersengih sama-sama..

Tak habis setakat tu..lepas makan tu aku pon muntah...(di sebabkan geli dengan lipas + alahan mengandung). Di tambah pulak ngan cerita Ainun yang lipas tu datang dari lubang air tandas..longkang dan sebagainya...

Sampai hari ni aku tak beli nasi dan lauk pauk kat kedai tu lagi..takut.. mungkin tuan punya kedai tu tak perasan kot..(sedapkan hati). Ye la..sebelum ni tak de pon..sekali tu je.. (sedapkan hati lagi)...redha je la...tapi masih takut nak beli makan kat kedai tu...

Friday, September 4, 2009

Jika Pemimpin

Jika pemimpin sering mengerah,
Para pengikut tak tentu arah.
Jika pemimpin kurang melatih,
Para pengikut menjadi letih.
Jika pemimpin tidak bersedia,
Para pengikut mengada-ngada.
Jika pemimpin tak kenal pengikut,
Para pemimpin tak mahu ikut.
Jika pemimpin suka berdamping,
Para pengikut dapat dibimbing.
Jika pemimpin selalu sibuk,
Pimpinannya menjadi hiruk-pikuk.
Jika pemimpin selalu marah,
Para pengikut tidak tentu arah.
Jika pemimpin malas membaca,
Anak buah kehilangan punca.
Jika pemimpin mengikut rasa,
Para pengikut rosak binasa.
Jika pemimpin mengikut nafsu,
Anak buah menjadi lesu.
Jika pemimpin bermotivasi tinggi,
Anak buah percaya diri.


“Jatuh bangun sesebuah pasukan bergantung kepada pemimpinnya”
Sumber: Rukun Kerja Berpasukan (Rahmat Ismail)

Volume 1 - Zara

"Ibu..rasa la lauk yang orang buat ni..sedap tak?" Dalam keterpaksaan si ibu merasa masakan yang dibuat anaknya untuk kali yang entah ke berapa. Namun dia tetap melayan kerenah anak perempuannya walaupun dalam keadaan yang sangat malas. Disebabkan penyakit barah perut tahap keempat, ibu Zara tidak dapat menjalankan ibadah puasanya pada tahun itu. Bukan sengaja untuk tidak berpuasa, tapi untuk menguruskan dirinya pun dia tidak mampu..

Sebelum bulan Ramadhan, Zara dan ibunya berjumpa doktor pakar melalui temujanji yang dibuat. Zara menemani ibunya memasuki bilik doktor. Setelah meneliti rekod ibu, dengan berat hati doktor itu berkata: "Saya minta maaf..Mak Cik hanya ada masa kurang daripada 6 bulan sahaja". Air mata ibu menitis mendengar kata doktor lelaki itu. Hancur luluh hati Zara mendengarkan kata doktor lelaki itu..dia sangat terkejut dan menangis. Zara yang berada di tahun akhir pengajian diplomanya di KUSZA dalam jurusan Pengurusan Sumber Manusia itu berikrar mahu menjaga ibunya sebaik mungkin..

"Mak..hari ni nak masak apa? Orang tak pandai la.." Tanya Zara kepada ibunya yang berbaring diatas tilam. Sudah beberapa kali Zara bertanya kepada ibunya. Akhirnya ibunya berkata dalam nada yang perlahan: "Masak lah apa-apa pun". Setelah siap memasak dengan bantuan nasihat ibu, Zara berehat seketika.

“Mak nak makan?” Tanya Zara kepada ibunya. Tanpa apa-apa jawapan dari ibunya, Zara memasukkan nasi dan sedikit lauk ke dalam pinggan. “Mari orang suapkan” kata Zara. Setelah di suap beberapa kali..ibunya mengalah. Sejak ahkir-akhir ini ibu Zara sudah tidak lalu makan. Alasannya penat untuk memamah.

Perut ibu Zara sudah makin besar, seperti orang mengandung..Zara bimbang untuk meninggalkannya. Namun, Zara terpaksa meninggalkan ibunya untuk kembali ke tempat pengajian. Zara memeluk ibu, mencium tangan dan pipi ibunya sebelum dia berangkat. Dengan berat hati Zara meninggalkan ibu…”

Sunday, August 23, 2009

Happy Blessed Ramadhan



Alahan???

Minggu lepas aku balik ke KL kerana pada 14/08(Jumaat) aku ada temujanji kat Poliklinik Seri Kembangan untuk check baby. Sudah menjadi kebiasaan kalau nak balik aku beli tiket 'on the spot' sebab takut terlepas bas. Seperti kebiasaan jugak aku akan beli tiket yang paling cepat. Masa tu pilihan yang ada 10.00pm, 10.30pm dan 10.45pm. Aku pun beli la tiket pukul 10.00pm (bas yang aku tak pernah naik sebelum ni).

Bila duduk kat tempat duduk, aku mula terasa gatal. Namun aku biarkan saja. Lepas tu aku terpandang seekor binatang..puas ku tilik-tilik rupanya seekor pepijat. Aku pun bertukar tempat duduk kerana bimbang akan mengalami kegatalan yang berpanjangan. Tapi aku tetap merasa gatal..dan tak boleh tidur. Aku mula rasa sakit hati kerana bas ni banyak kali berhenti menyebabkan waktu perjalanan mencecah 5 jam lamanya. Kebiasaannya 3 jam setengah je dah boleh sampai. Dah la gatal kerana pepijat yang berkeliaran kat langsir dan tempat duduk... sakit sangat hati aku..

Selepas bangun tidur keesokan harinya aku dapati kulitku terasa sangat gatal dan ditumbuhi bintik-bintik merah seluruh badan. Terasa kegatalan yang teramat sangat. Selepas suamiku pulang dari tempat kerja aku pun bertanya kepadanya: "Abang, semalam abang ada perasan bintik-bintik merah kat badan ayang tak?", kata suamiku "Tak perasan pulak."

Masa gi check baby kat klinik aku pun mintak ubat gatal dengan nurse yang check aku. Tapi nurse tu refer aku kat doktor. Tunggu nak masuk bilik doktor (Perempuan) punya la lama, sampai nak mengamuk laki aku dibuatnya. Alih-alih bila masuk je bilik dia, dia tengok kat buku merah, ada tulis "skin alergic" dia terus tulis ubat dan siap. Aku tunggu punya la lama tak der dia nak tanya aku kenapa, macam mana, teruk ke dan apa-apa lagi la, tengok kulit aku pun tak. Bila balik, aku sapu la losyen dan ubat gatal yang diberi selain makan pil untuk mengelak kegatalan kat kulit aku. Tapi setelah banyak kali aku sapu losyen baru aku perasan bahawa lepas sapu je losyen tu kulit aku bertambah gatal..

Masa aku gi Hospital sebelum balik UTM (hantar makan tengah hari kat suami), suami aku tanya doktor kat situ, dia cakap mungkin alahan. Aku pun cakap la aku kena pepijat kat atas bas. Tapi dia kata pepijat tak ada la sampai teruk macam ni. Suami aku pun sokong dia. Doktor tu sarankan aku jumpa pakar kulit, tak bagi aku pakai losyen yang doktor (perempuan) kat klinik tu bagi sebab nanti kulit aku tambah kering dan gatal. Selain tu dia tak bagi pakai sabun Protex dan Dettol. Elok gunakan Dove kalau kulit bermasalah. Kalau pakai Dove pun tak jalan dia suh beli "soap free" kat farmasi. Sampai hari ni kulit aku masih lagi gatal dan ada bintik-bintik baru yang timbul..aku dah tak sapu losyen yang diberi tu. Rasa kurang la sikit gatalnya..doakanla aku cepat sembuh dan tak gatal-gatal lagi...

Saturday, August 22, 2009

Nurul Syuhada..



Nurul masih lagi menuntut di sekolah menengah..namun dialah pengganti ibu yang telah tiada. Bangun seawal jam 4.00 pagi untuk menyediakan juadah sahur kepada ayah, adik2, abang2 dan datuknya yang sudah tua. Bila terfikirkan bebannya..aku rasa kesian sangat. Setelah difikir2kan aku lebih bernasib baik..

Hari pertama berpuasa..dia memasak daging singgang dan daging goreng. Juadah itulah yang menjadi santapan sahur seluruh ahli keluarga. Betapa besar beban yang dipikulnya. Kalaulah aku ada, mesti ringan sedikit bebannya..

Nasib baik hari ni tak sekolah..ok la sikit untuk hari pertama berpuasa. Sekurang2nya dia boleh belajar membiasakan diri untuk bangun awal. Semoga dia tabah menjalani kehidupan ini dan semoga hidupnya akan menjadi lebih bahagia kelak. Kesusahan hari ini akan menjadi ilmu yang sangat berguna padanya dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang..

Aku pula, minum secawan milo + nestum dan 2 keping roti untuk santapan sahur pada hari pertama berpuasa ni. Aku di temani oleh sahabat ku yang bernama Alifa. Semalam katanya tak mahu bangun sahur. Tapi, alih2 jam 5 pagi tadi mesej aku bangun ke tak..(umminya kejut suh bangun sahur). Bestnya orang ada ummi kan..

Pa pe pun..SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN RAMADHAN YANG MULIA INI
kepada semua ahli keluarga ku, keluarga mertua, sahabat, dan seluruh umat islam di muka bumi Tuhan ini..


Wednesday, August 12, 2009

ORANG KITA

Oleh: PermataSoffHas
(10.50pm)-11/08/2009

Orang kita hari ini..
Kebanyakanya ikut haluan sendiri..
Suka pentingkan diri sendiri..
Tak kisah dan tak peduli..
Orang lain nak kutuk atau nak caci..

Jiran tetangga dah tak mengenali..
“siapa duduk sebelah rumah aku ni?”
Hidup masing-masing sudah sendiri-sendiri..
Tak ada siapa nak peduli..
sakit pening tanggung sendiri..

Ada pulak jiran yang dikenali.
Tak baik budi pekerti..
Kita nasihat salah anaknya, mak bapaknya maki..
Maklumlah mereka pun kaki minum, kaki judi..
Tak pun melepak kat kedai kopi..
Maknya pulak..anak orang diumpat dicaci..
tak sedar salah anak sendiri..

Bukan itu sahaja..ada lagi..
Kenapa dengan kita hari ini?
Cari wang macam tak nak mati..
memang itu dituntut Ilahi..
Tapi, sembahyang tak reti-reti..
Padahal kubur sentiasa menanti..
Bila-bila saja boleh pergi..
Itu pun tak sedar-sedar lagi..

Sembahyang..mengaji dah tak peduli..
Nak halau hantu baru ingat mengaji..
Itu pun baca “ayat kursi”..
Kononnya nak jadi pendinding diri..
Tak sedar hantu syaitan keliling diri..
Sebab tak sembahyang..tak mengaji..

Orang kita hari ini..
Asal hidup boleh ‘enjoy’ diri..
Tuhan turunkan bala dah tak peduli..
Tak faham-faham Tuhan nak uji..
Bukan nak tambah ilmu agama dalam diri..
Tapi masih tak sedar lagi..
Adakah kita baik peribadi?
Cubalah kita fikir-fikirkan sendiri..

MENATAP WAJAH SUAMI

Aku ada hobi yang sangat menarik untuk dikongsi. Tapi ianya hanya boleh di buat oleh seorang isteri je. Sejak mendirikan rumahtangga, aku sangat suka menatap wajah suamiku yang ku cintai. Tak kira lah kat atas kereta ke, masa tengok tv ke, masa dia sedang tidur ker..

Sebab, bila aku tengok dia dengan penuh rasa kasih dan sayang, aku akan jadi tenang sangat..rasa bahagia..entahlah..satu perasaan yang sangat indah dan sukar untuk digambarkan. Bukan sahaja menatap, malah aku suka membelai rambutnya, mukanya..kalau dia tengah tidur tu kadang-kadang aku kene tempis. Mungkin dia rasa terganggu nak tidur kot. Masa atas kereta pulak, biasanya aku akan kedepan sikit (dekat cermin hadapan) dan tatap mukanya. Dia akan kata “Yang, boleh tak duduk tu elok2 sikit?”.

Masa tengah belek-belek kat internet aku ada terbaca satu artikel..rupa-rupaya..

"Ada lima perkara apabila kita menatapnya akan mendapat pahala iaitu melihat Kaabah, mushaf al-Quran, melihat wajah ibu bapa, orang alim dan memandang wajah suami isteri dengan penuh kasih sayang". Seseorang itu akan mendapat banyak ganjaran pahala daripada Allah walaupun sekadar menatap wajah suami atau isteri masing-masing.( Aluwi)

Maka..lepas ni aku akan teruskan hobi ini. Tapi bermula tahun depan aku tak boleh nak menatap wajahya selalu..sebab aku dah ada baby. Jadi saat-saat terakhir ni..aku akan tatap wajahnya sekerap mungkin..

Buat suami tersayang…jangan la marah kalau ayang asyik tengok muka abang je..

Thursday, August 6, 2009

Praktikum..Assignment..PSM..Test..

Penatnya..Semuanya sebab H1N1..lecturer nak buat test cepat2..project yang kne hantar hujung sem dah kena hantar minggu depan..kena present lagi..PSM lagi..pening kepala. Dengan Degree ++ lagi Sabtu dan Ahad ni..Ahhhh..Minggu ni rasa penat sangat. Tido pun kul 2, 3 pagi..nasib baik kelas 2 hari je. Klu tak, tak tak tau macam mana nak buat semua ni..

Lecturer nak cepatkan semua ni sebab takut UTM kene tutup nanti (H1N1). Semua da lari dari topic yang perlu diajar seperti dalam silibus..Laju je belajarnya..tak sempat nak faham pon..gi kelas macam tak pergi je..

Sekarang ni tengah 'tensen' buat project BI Workplace. Kne cipta satu product, buat company profile..sales & marketing..nak jual product yang kita buat tu..semuanya kne siap dalam 2,3 hari.. Nak baca untuk test pon tak de masa..tak tau la macam mana nak jawab nanti..goreng la jawabnya kot..

Ni la masa gunanya "sabar". Kena sabar banyak2..duk pk orang lain pon banyak masalah jugak..kurang sikit 'tensennya'. Macam mana la orang yang da kerja, ada kuarga, anak kecik, belajar lagi...mesti mereka tu lagi penat kan? Aku yang macam ni pon da rasa penat..rasa nak habis belajar cepat2..aku perlu kuat untuk semua ni..aku kena ingat pesan arwah ibuku yang tersayang..semoga aku kuat untuk lalui semua ni..yang penting.. 'SABAR".

Tuesday, July 28, 2009

Pengalaman Mengandung

Masa mengandung ni, orang kata perempuan banyak kerenahnya. Mungkin betul jugak kata orang tua ni..benda yang kita selalu buat..kita jadi tak suka. Tapi aku rasa, selama aku mengandung 4 bulan setengah ni, Alhamdulillah tak der benda pelik2 sangat berlaku..rasa macam ok je. Tak ada mengidam nak makan pelik2..tak der alahan yang keterlaluan (muntah2 sikit tu ada la)..

Cuma ada beberapa perkara yang aku perasan berlaku pada diri aku:

*Mesti la perut semakin besar..

*Tak boleh nak makan banyak macam dulu..

*Cepat lapar..

*Cepat penat..

*Nak tido je..

*Malas..

*Masa 3 bulan pertama, nak makan nasi ngan ikan kering dan ikan goreng..(tak nak ayam, daging,etc)..

*Kalau nak buang air tu tak boleh nak tahan2..sakit(sebab tersepit ngan baby kot)..*Kadang2 jadi sejuk menggigil pada waktu malam..

*Tak boleh nak gosok gigi..(muntah)-Nurse pesan suh makan biskut dulu b4 gosok gigi, aku pon makan la biskut..tapi bila gosok gigi kuar plak muntah biskut.sebelum ni,klu tak makan muntah air je..teori tu tak berapa menjadi pada diri aku..

*Terbaru, best sangat bila baby da gerak2..terutama bila aku mainkan bacaan ayat suci Al-Quran..aktif sangat dia..(kata suamiku dia melompat kegembiraan bila dengar bacaan Quran)..

*Yang paling best, suami makin sayang kat aku..he..he..nampak dia ‘take care’ sangat..

Seingat aku tu je la yang berlaku pada diri aku..yang lain sama je..nampak je macam banyak,tapi tak nampak sangat pon perubahannya..pa pe pon, Alhamdulillah sebab tak banyak kerenah sangat. Terima kasih kat suami, keluarga dan kawan-kawan aku yang banyak membantu..Terima Kasih..

Saturday, July 25, 2009

HINANYA ORANG YANG TAK SOLAT

Al-kisahnya, pada zaman Nabi Musa, ada seorang lelaki yang sudah berumahtangga, dia tiada zuriat, lalu terdetik dalam hati dia (nazar), "kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam."

Nak
dijadikan cerita, Allah pun kurniakan isteri si lelaki tadi pun hamil dan melahirkan anak. Apabila dah dapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia dah nazar nak kena minum air kencing anjing hitam.

Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang turun untuk umat Nabi Muhammad. Kalau umat Nabi Muhammad, nazar benda yang haram, maka tak payah buat tapi kena denda (dam) atau sedekah. Tapi kalau zaman Nabi Musa, barangsiapa bernazar, walaupun haram tetap kena laksanakan nazar tu. Lalu, si lelaki yang baru mendapat anak, dengan susah hatinya pergilah bertemu dengan Nabi Allah Musa dan menceritakan segala yang terjadi ke atas dirinya. Lalu, Nabi Musa menjawab bahawa lelaki tu tak perlu minum air kencing anjing hitam tetapi akan minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam.

Nabi Musa perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tu. Lelaki itu pun menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.

Pengajarannya di sini, betapa hinanya orang yang meninggalkan solat, sampai dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya, lebih hina dari air kencing anjing hitam. Apatah lagi air tangannya. Sedarkah kita bahawa kita setiap hari terdedah dengan perkara ini kerana setiap hari makanan di kedailah yang menjadi juadah buat santapan kita. Tanpa kita tahu adakah tukang masak itu solat ataupun tidak. Saya juga terpaksa membeli makanan di kedai kerana di pusat pengajian (tempat saya belajar) tidak membenarkan pelajarnya memasak. Insyaallah, setelah tamat belajar nanti, saya sendiri akan memasak untuk suami dan anak saya yang bakal lahir. Dan saya juga akan makan di kedai bila perlu sahaja (mungkin ada sebab-sebab tertentu). Maka, marilah kita sama-sama menjaga solat yang telah diwajibkan kepada kita sebagai umat islam.

Wednesday, July 22, 2009

Al-kisah ku..

Setelah tamat latihan industri, maka sesi baru bermula. Aku kembali menjadi seperti pelajar lain di UTM…ini adalah pilihanku..(hadiah buat arwah ibu tercinta). Bila hati rasa malas je..aku teringat pada ibu. Maklumla.. dia la orang yang paling penting dalam memberi semangat dan kekuatan kepadaku untuk terus belajar sehingga sekarang. Aku cuba untuk merealisasikan impiannya yang teringin melihat anaknya menjejakkan kaki ke menara gading.

Masuk je semester baru bermakna aku akan berjauhan dengan suamiku yang tersayang juga. Kami hanya akan berjumpa sekali sekala (2 minggu sekali). Tapi dah tak lama..hujung tahun nanti aku da habis belajar. Bila difikirkan balik ada juga hikmahnya berjauhan ni..rindu je.. Tapi aku lebih gembira jika bersama suami..tengok dia pergi kerja..balik kerja..makan sama-sama..seronok sangat. Hidup rasa lengkap je..

Tak lama lagi aku dan suami akan bergelar ibu dan ayah .Suamiku nampak sangat gembira. Bila aku tanya dia:

Aku : Bang, gembira tak nak dapat baby?

Suamiku : Gembira sangat. Pa (kembar suamiku) pun dah ada anak. Abang pun nak jugak..

Itu jawapan yang dia berikan kepadaku..bunyinya macam cemburu je dengan kembarnya yang dah ada anak. Tak pula disebut adik beradiknya yang lain..maklum la kembar..sayangnya terlebih sikit..

Anakku..


Allahuakbar...
kebesaran tuhan...
hadiah yang sangat istimewa buatku dan suami..
Terima kasih Ya Allah...

Monday, June 29, 2009

Hari-hari terakhir...

Hari ni merupakan hari terakhir aku di Casa. Awal pagi lagi hati aku dah sebak..nak meninggalkan Casa.

Hari-hari terakhir aku kat sini..aku digembirakan oleh kawan-kawan kat sini. 3 hari lepas aku dan Iziani telah mengadakan Jamuan BBQ. Program bermula pada jam 5 ptg. Kami semua berjalan ke 'Light House'. Berdekatan 'Light House' terdapat air yang berpusar. 'Laight House' itu di gunakan untuk memberi amaran kepada kapal-kapal supaya jangan mendekati kawasan itu. Selepas itu kami bakar ayam bersama-sama dan sebelum pulang kami bermain pantai..

2 hari lepas..diadakan pula jamuan makan-makan di hostel. Jamuan ini diadakan kepada mereka yang tidak dapat menghadirkan diri pada malam semalam..kami buat BBQ lagi..sampai hangus meja.. Tapi yang dah hadir malam sebelumnya pun ikut juga..

Semalam, Kak Ina (F/O Exec), Abang Mahadir dan Wan bawa kami ke Tiara Resort. Dia bawa kami mandi-manda kat sana..bessstt..kolamnya banyak dan luas..macam-macam ada..kami bermandi-manda dari pukul 5.30-7.30 petang. Lepas tu Kak Ina bawa kami makan di Mayang Sari...

Kak Ina bagi kami hadiah..cantik... Dan hari ini aku memakai hadiah itu. Habis makan, Kak Ina bawa kami semua ke Avillion Resort pula..cantik sangat tempat tu. Rasanya..dalam banyak-banyak resort kat PD, Avilion Resort la yang paling cantik. Tapi sayangnya kamera kehabisan bateri. Jadi tak boleh la nak amik gambar persekitaran Avillion yang cantik tu.. Lebih kurang jam 10.30 malam kami pulang..

01 July 2009

Sunday, June 28, 2009

Praktikal...Casa Rachado...

Sekejap je masa berlalu..tinggal lagi 4 hari aku di Casa. Bila dah terbiasa dengan kehidupan kat Casa, seronok pulak. Berbeza dengan masa aku mula-mula datang Casa. Sangat tak suke sampai menagis..tapi hari ni, rasa sedih dah datang sikit-sikit. Maklumla..sume staf baik-baik belaka. Cume ada la sorang dua yang menyakitkan hati..tapi, aku tak marah pun..sayang sume. Praktikal ni banyak mengajar aku..memahami sikap manusia yang berbeza. Ada yang terlalu baik, dan ada pula yang sebaliknya. Namun..hari ini aku gembira disini..mempunyai kawan-kawan yang baik..

Pasal kerja pulak, bagi aku 'ok' je. Tak de la penat sangat..masalahnya aku ni yang cepat penat dan asyik ngantuk jer. Maklum la, pembawa budak.. Di Casa aku di tempatkan di dua bahagian, bulan pertama duk kat Bahagian Jualan dan Pemasaran. Di bahagian aku kne banyak berkomunikasi dengan pelanggan. Jawab panggilan pasal tempahan bilik dan memperkenalkan persekitaran Casa. Selain tu, kne buat sebutharga, sales kit, dan sebagainya. Di bahagian ni aku diselia oleh En. Suraces yang baik hati. Tak pernah kne marah pon..dia suruh pun ..baikkk je..suka la kerja dengan dia.. Dah la hemsem..

Bulan kedua aku di tempatkan di Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia. Bahagian ni dibawah seliaan Ms. Eng & Ms. Veny. Tapi aku banyak buat kerja Kak Veny..klu dia senyum tu manis jer... Kerja aku kat sini banyak pasal Souvenir Shop je...inventory, sales, etc. Ms. Eng ada bagi satu projek suh aku dan Izi(kawan UTM) buat kertas cadangan penilaian prestasi untuk digunakan di Casa. Tapi, Izi yang banyak buat sebab K. Veny asyik bagi aku kerja..

Kawan-kawan kat hostel juga besh-besh...Izi..Fatin..Bad..Fiza..Nabila..Enot..Shida..Alin..Suzie. Sayang kamu sume...Nanti mesti teringat dengan ketawa si Fatin yang kuat tu..Bad yang cepat majuk..Shida yang malu2 kucing..Nabila & Fiza yang pekat pelat Kedah nya..Suzie yang bewajah sedikit garang..Enot yang nak cakap selalu tak jadi...

Kat tempat kerja lak, K.Ina..sangat baik orangnya..dia jaga aku dengan baik sekali.Klu aku nak ape2 cepat je dia amikkan. Dia akan bagi apa yang aku nak klu dia mampu bagi.Selalu belanja kitorang makan2..Thanks K.ina..Saaaayang sangat. Abang Mattodey...Abang Mani...Wan.. antara jejaka2 hemsem yang baik dengan kami semua..terima kasih semua..

Semua akan menjadi kenangan indah dalam hidupku..

Sunday, June 21, 2009

Nasi ikan kering..

Rasa nak cerita pasal zaman kanak-kanak plak rasanya...

Satu hari tu, mok(panggilan untuk arwak nenek) tak ada duit(mungkin tak ada duit kecik) nak bagi aku duit poket untuk ke sekolah. Biasanya dia akan memberikan RM 0.30 setiap hari. Lalu dia membekalkan aku dengan sebekas nasi berlaukkan ikan kering dan sebotol air kosong. Sebelum rehat kawan aku ada mengadu yang dia pun tak di beri duit poket. Lalu aku mengajaknya untuk makan bersama bila tiba waktu rehat nanti, dan dia bersetuju untuk makan bersamaku.

Bila tiba waktu rehat....

Aku mengajak kawanku tadi untuk makan bersamaku. Oleh kerana aku malu untuk makan di hadapan pelajar lain (kerana berlaukkan ikan kering), lalu aku dan kawan ku tadi pergi ke belakang bengunan untuk makan.

Bila sampai di tempat yang sesuai kami duduk mengadap bekas nasi yang di bawa. Lalu aku selaku tuan punya bekal pun buka la bekas yang berisi nasi tadi. Pada mulanya aku buka tutup bekas itu perlahan-lahan, tapi oleh kerana terlalu ketat, aku mengangkat bekas itu dan cuba membukanya...

Aku berjaya membukanya namun...malangnya nasi itu semua bertaburan di atas tanah bersama dengan lauk ikan kering yang rangup itu. Aku dan kawanku saling berpandangan antara satu sama lain..

Sudahnya.. kami berdua hanya minum air kosong sahaja pada hari itu..


Ibu...

kerinduan pada ibu tak pernah hilang..
tetap megingati...
senyumannya...yang sungguh manis..
belaiannya..yang sehalus sutera..
bebelannya...membuat kita befikir..
untuk membaiki kesilapan diri..
kerinduanku..
membuatkan air jernih berlinang…
di jendela mata..
mengenang dirimu.
kerna..
bagiku kaulah nafas bahagia...
yang selalu memberi pelita..
dalam gelapnya kehidupanku..
Ibu……
kini tiada lagi dirimu disini..
namun cinta dan kasihmu tetap dihati..
menjadi kenangan sepanjang hidupku..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...