Thursday, April 16, 2020

Tautan Hati ( Part 1)


Cuti semester baru bermula. Aku pula pening kepala. Macam mana nak urus semuanya dalam masa seminggu. Semua urusan masih belum selesai. 

"Ya Allah, Kau permudahkanlah urusanku, amin."

Usai menduduki kertas peperiksaan terakhir di tahun 1, aku ke makmal komputer di Kolej 9 UTM untuk membuat kad jemputan kenduri kesyukuran. Aku membuat salinan fotostat sebanyak 50 keping. 

Malam itu aku pulang ke kampung di negeri Cik Siti Wan Kembang. Setibanya di rumah keesokan paginya, aku bergegas ke Hospital Machang untuk ujian HIV. Seterusnya ke pejabat agama dan ke rumah imam. Alhamdulillah. Semuanya selesai walau dalam kepenatan.

Aku kemudiannya menyiapkan sendiri bilik pengantin, pelamin (ringkas) untuk bergambar (tapi tiada jurukamera pun 🤣🤣), 7 dulang hantaran, dan sedikit cenderamata untuk tetamu dengan bantuan adik-adikku. 

Cenderamata daripada sabun wangi yang diukir berbentuk hati berserta tuala kecil yang dilipat berbentuk kipas. Semua sabun itu kuukir sendiri. Ada yang ok, ada juga yang buruk. Tapi, itu saja yang mampu aku bagi. Maafkan aku.

30 November 2007, jam 9.00 malam status bujang bertukar isteri. Majlis perkahwinanku berlangsung seadanya. Kecil-kecilan sahaja. Maklum saja, aku dari keluarga yang miskin. Tambahan pula aku masih belajar ketika itu. Tidak berduit. Hias bilik dan pelamin pun guna langsir rumah makcik sahaja. 

Baju kahwin yang dipakai pula, kakak pinjam kawan dia punya. Pengantin lelaki berbaju putih, pengantin perempuan berbaju hijau. Haha.. tak pernah dibuat orang. Tapi, aku rasa ok saja walaupun tak sama. Yang penting, perkahwinan itu sah. 

Selesai saja majlis, aku menyerahkan duit belanja perkahwinan kepada ayah untuk membayar barang-barang keperluan makanan untuk kenduri. Kebiasaan di negeri kami, pengantin perempuan akan membeli emas dengan duit belanja tersebut. Tapi tidak bagi aku. 

Segala urusan perkahwinan aku bayar sendiri. Semuanya menggunakan duit maskahwinku. Aku tidak mahu membebankan sesiapa. Pengorbanan ayahku sudah terlalu besar untuk aku membebankan dia dengan majlis aku lagi. Tambahan pula ayah dan adik beradikku bukanlah orang kaya. Jadi, semuanya aku tanggung di bahu sendiri.

Alhamdulillah, setelah 6 tahun berkawan, kami menjadi suami isteri yang sah akhirnya. 

Gembira?

Mestilah! Kerana dia satu-satunya cinta hati aku.

***

Kebahagiaan sesebuah perkahwinan bukanlah terletak pada besarnya sebuah majlis perkahwinan, tetapi terletak pada betapa besarnya cinta kau kepada Tuhan.

--------------------------------------------------------------------------

Terima kasih suami kerana sudi menjadikan aku isteri.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua ahli keluarga (Chek, ayah, adik beradik, pakcik makcik dlln) dan kawan-kawan (Alifa, Ain dan lain2) yang membantu menjayakan majlis ini. 

Tidak dapat disebut satu persatu kerana terlalu ramai. Maafkan aku.

#tautanhati
#pjjlife
#husbandwife

Sunday, April 5, 2020

Kasih Sayang Berpanjangan

Telefon berdering.

Laju aku menyambut. Makcik dari kampung menelefon. Katanya, datukku mahu bercakap. 

"Assalamualaiku Chek," sapaku.

"Hah..apa? Rah ke tu? Tak dengar lah," balas Chek di hujung talian.

"Assalamualaikum Rah, macam mana kat sana? Duduk kat mana tu? Boleh makan tak?"

Begitulah dia, nikmat pendengarannya telah ditarik sedikit demi sedikit. Umurnya sudah menginjak ke 100 tahun. Dia lah datukku. Penjagaku sejak kecil. Kasih sayangnya tiada tandingan. Kasih yang sebenar-benar kasih. 

Sudah berkali-kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dia menghubungiku. Bertanya khabar seolah aku masih kecil. 

'Chek, orang sudah besar Chek. Chek jangan bimbang,' hatiku bersuara.

Sayu bila mengenangkan kasih sayangnya yang tiada bertepi. 

***

Fikiran merewang mengenang kisah sewaktu kecilku.

Aku dilayan macam puteri, walau dalam kemiskinan. Dia memasak untukku, dia menyediakan makan minumku, dia menyediakan apa yang aku minta semampunya. Kadang-kadang, bila difikirkan kembali, permintaanku juga keterlaluan.

Aku pernah meminta dibelikan basikal baru. Akibatnya dia terpaksa berhutang. Aku pernah menyuruh dia membuat satu bilik air yang selesa, walaupun aku tahu dia tak mampu. Aku tipu aku sakit perut sebab nakkan perhatian dia.

Allah... aku cucu yang tidak tahu diuntung!

***

Telefon berdering lagi. Kali ini sepupuku pula menelefon.

"Kak Cik, Chek nak cakap ni," Kata Adaa di hujung talian.

Telefon diberikan kepada datukku.

"Assalamualaikum Rah, duduk kat mana tu? Anak-anak macam mana? Kedai kat sana buka ke? Jaga diri tu," pesan Chek.

"Waalaikumussalam. Orang ada kat rumah dah ni. Anak-anak semua sihat. Makan cukup. Kedai semua buka. Senang nak beli makanan," jawabku ingin menghilangkan kegusaran dia.

"Tak apa lah kalau macam tu. Takut tak dapat makan je. Duduk molek-molek ye," sambungnya lagi.

"Ya Chek. Chek pon jaga diri. Jangan berjalan merata-rata," pesanku.

"Chek nak pergi rumah mu pon tak boleh ni. Polis jaga jalan," kata Chek lagi.

Aku tahu dia rindu. Teringin nak melawatku di sini. Tetapi dia tidak mampu.

Rinduku padanya juga terlalu dalam. Sudah lebih sebulan aku tidak menjenguk dia. 

'Bilakan Perintah Kawalan Pergerakan ini akan berakhir? Ya Allah... Kau jagalah dia untukku. Dia kesayanganku dunia akhirat.'

***

Hargailah orang yang kita sayang selagi dia masih ada. Berilah perhatian selagi mampu. Dia tidak pernah menagih wang ringgit dari kita. Hanya mengharapkan kita hidup bahagia di dunia dan akhirat. 

Saya sayang datuk saya!

Kepulangan Yang Dinanti

"Ya Allah!"

Tiba-tiba terpacul nama pencipta dari mulutku dek kerana terkejut dengan email yang baru saja muncul di ruangan peti masuk.

Mataku bekaca. Senyumku sampai ke telinga.

Alhamdulillah, setelah sekian lama menunggu, akhirnya permohonan pertukaranku untuk balik ke negeri Terengganu dimakbulkan Allah. 

Aku perlu melapor diri di negeri Terengganu pada 9 Mac 2020. Namun aku menangguhkan pertukaran untuk menyiapkan kerja-kerja tertunggak sehingga 19 Mac 2020.

***

Tiba-tiba, satu negara dilanda wabak. Virus
Corona yang dikatakan bermula dari negara China itu merebak dengan cepat ke seluruh dunia. 

Pada 18 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia  mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan diseluruh negara. Bimbang memikirkan PKP yang dilaksanakan sebelum aku sempat pulang ke negeri Terengganu, bermacam persoalan muncul. 

'Macam mana nak balik? Kena pergi Balai Polis dulu ke? Boleh merentas negeri ke tidak? Arhhh... pening kepala dibuatnya.'

***

"Tie, nanti abang sampai malam ni, kita balik terus ye. Abang bimbang kalau-kalau esok lebih banyak sekatan dilakukan. Nanti Tie print siap-siap surat arahan pertukaran itu," kata suamiku di hujung talian.

"Pagi tadi kan abang kerja. Bawa kereta dari Terengganu ke Johor sorang-sorang, lepas tu nak balik terus? Tak penat ke?" soalku bimbang dia kepenatan tanpa rehat.

"Takpe lah, kalau penat kita rehat kat mana-mana," sambungnya lagi.

***

Setelah pulang dari kerja, aku terus mengemas barang-barang dan memasukkan ke dalam kereta. Aku memasak  nasi untuk dijadikan  bekalan di perjalanan nanti. 

Suamiku tiba awal dari jangkaan, iaitu pada jam 10.30 malam. Dia sempat berehat seketika sementara aku mengemas barang-barang yang hendak dibawa pulang. Usai mandi dan solat, aku menghidangkan nasi kepadanya. 

"Alhamdulillah, abang memang lapar ni. Seharian bawa kereta tak berhenti pun. Semua kedai tutup. Tak ada tempat makan," kata suamiku.

***

Kami bertolak balik pada jam 12.30 malam dengan dua buah kereta. Tiba di Muadzam Shah Pahang, ada 'roadblock' polis. Alhamdulillah, lepas. Suami dah mula kepenatan. Dia meminta untuk berehat di sebuah stesen minyak pada jam 4.30 pagi. 

Lena.

***

Tersedar jam 6.30 pagi, kelihatan pekerja stesen minyak yang memakai 'mask' sedang menyembur sejenis cecair ke seluruh stesen minyak.

Aku turun dari kereta dan berjalan kaki menuju  ke surau di belakang stesen minyak untuk menunaikan solat subuh. Malangnya, kelihatan satu kertas A4 ditampal di pintu surau bertulis, 

"HARAP MAAF, SURAU INI DITUTUP UNTUK MENGELAKKAN PENULARAN VIRUS COVID-19."

"Aduh... macam mana nak solat ni?" rungutku sendiri.

Setelah percubaan memujuk kakitangan stesen minyak untuk menggunakan surau gagal, aku dan suami mengambil keputusan untuk solat di tepi surau berlapikkan karpet yang dibawa pulang dari Johor. Nasib baik juga ada karpet dalam kereta.

Usai bersarapan dengan bekal yang dibawa, pemanduan diteruskan lagi menuju ke destinasi. Alhamdulillah, perjalanan agak lancar. Jam 12.00 tengahari, aku dan suami selamat sampai di rumah.

***

Berada disamping suami dan anak-anak di rumah sendiri merupakan nikmat yang paling besar buatku. Menjadi suri rumah sepenuh masa dan anak-anak berada di depan mata membuatkan aku rasa sangat bersyukur. Setahun empat bulan berjauhan, sekarang 24 jam aku 'stay at home' bersama yang tersayang. 

"Maka nikmat Allah yang mana lagi hendak kau dustakan? Terima kasih Allah," bisikku sendiri dengan senyuman kebahagiaan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...