Sunday, April 5, 2020

Kepulangan Yang Dinanti

"Ya Allah!"

Tiba-tiba terpacul nama pencipta dari mulutku dek kerana terkejut dengan email yang baru saja muncul di ruangan peti masuk.

Mataku bekaca. Senyumku sampai ke telinga.

Alhamdulillah, setelah sekian lama menunggu, akhirnya permohonan pertukaranku untuk balik ke negeri Terengganu dimakbulkan Allah. 

Aku perlu melapor diri di negeri Terengganu pada 9 Mac 2020. Namun aku menangguhkan pertukaran untuk menyiapkan kerja-kerja tertunggak sehingga 19 Mac 2020.

***

Tiba-tiba, satu negara dilanda wabak. Virus
Corona yang dikatakan bermula dari negara China itu merebak dengan cepat ke seluruh dunia. 

Pada 18 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia  mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan diseluruh negara. Bimbang memikirkan PKP yang dilaksanakan sebelum aku sempat pulang ke negeri Terengganu, bermacam persoalan muncul. 

'Macam mana nak balik? Kena pergi Balai Polis dulu ke? Boleh merentas negeri ke tidak? Arhhh... pening kepala dibuatnya.'

***

"Tie, nanti abang sampai malam ni, kita balik terus ye. Abang bimbang kalau-kalau esok lebih banyak sekatan dilakukan. Nanti Tie print siap-siap surat arahan pertukaran itu," kata suamiku di hujung talian.

"Pagi tadi kan abang kerja. Bawa kereta dari Terengganu ke Johor sorang-sorang, lepas tu nak balik terus? Tak penat ke?" soalku bimbang dia kepenatan tanpa rehat.

"Takpe lah, kalau penat kita rehat kat mana-mana," sambungnya lagi.

***

Setelah pulang dari kerja, aku terus mengemas barang-barang dan memasukkan ke dalam kereta. Aku memasak  nasi untuk dijadikan  bekalan di perjalanan nanti. 

Suamiku tiba awal dari jangkaan, iaitu pada jam 10.30 malam. Dia sempat berehat seketika sementara aku mengemas barang-barang yang hendak dibawa pulang. Usai mandi dan solat, aku menghidangkan nasi kepadanya. 

"Alhamdulillah, abang memang lapar ni. Seharian bawa kereta tak berhenti pun. Semua kedai tutup. Tak ada tempat makan," kata suamiku.

***

Kami bertolak balik pada jam 12.30 malam dengan dua buah kereta. Tiba di Muadzam Shah Pahang, ada 'roadblock' polis. Alhamdulillah, lepas. Suami dah mula kepenatan. Dia meminta untuk berehat di sebuah stesen minyak pada jam 4.30 pagi. 

Lena.

***

Tersedar jam 6.30 pagi, kelihatan pekerja stesen minyak yang memakai 'mask' sedang menyembur sejenis cecair ke seluruh stesen minyak.

Aku turun dari kereta dan berjalan kaki menuju  ke surau di belakang stesen minyak untuk menunaikan solat subuh. Malangnya, kelihatan satu kertas A4 ditampal di pintu surau bertulis, 

"HARAP MAAF, SURAU INI DITUTUP UNTUK MENGELAKKAN PENULARAN VIRUS COVID-19."

"Aduh... macam mana nak solat ni?" rungutku sendiri.

Setelah percubaan memujuk kakitangan stesen minyak untuk menggunakan surau gagal, aku dan suami mengambil keputusan untuk solat di tepi surau berlapikkan karpet yang dibawa pulang dari Johor. Nasib baik juga ada karpet dalam kereta.

Usai bersarapan dengan bekal yang dibawa, pemanduan diteruskan lagi menuju ke destinasi. Alhamdulillah, perjalanan agak lancar. Jam 12.00 tengahari, aku dan suami selamat sampai di rumah.

***

Berada disamping suami dan anak-anak di rumah sendiri merupakan nikmat yang paling besar buatku. Menjadi suri rumah sepenuh masa dan anak-anak berada di depan mata membuatkan aku rasa sangat bersyukur. Setahun empat bulan berjauhan, sekarang 24 jam aku 'stay at home' bersama yang tersayang. 

"Maka nikmat Allah yang mana lagi hendak kau dustakan? Terima kasih Allah," bisikku sendiri dengan senyuman kebahagiaan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...