Sunday, April 5, 2020

Kasih Sayang Berpanjangan

Telefon berdering.

Laju aku menyambut. Makcik dari kampung menelefon. Katanya, datukku mahu bercakap. 

"Assalamualaiku Chek," sapaku.

"Hah..apa? Rah ke tu? Tak dengar lah," balas Chek di hujung talian.

"Assalamualaikum Rah, macam mana kat sana? Duduk kat mana tu? Boleh makan tak?"

Begitulah dia, nikmat pendengarannya telah ditarik sedikit demi sedikit. Umurnya sudah menginjak ke 100 tahun. Dia lah datukku. Penjagaku sejak kecil. Kasih sayangnya tiada tandingan. Kasih yang sebenar-benar kasih. 

Sudah berkali-kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dia menghubungiku. Bertanya khabar seolah aku masih kecil. 

'Chek, orang sudah besar Chek. Chek jangan bimbang,' hatiku bersuara.

Sayu bila mengenangkan kasih sayangnya yang tiada bertepi. 

***

Fikiran merewang mengenang kisah sewaktu kecilku.

Aku dilayan macam puteri, walau dalam kemiskinan. Dia memasak untukku, dia menyediakan makan minumku, dia menyediakan apa yang aku minta semampunya. Kadang-kadang, bila difikirkan kembali, permintaanku juga keterlaluan.

Aku pernah meminta dibelikan basikal baru. Akibatnya dia terpaksa berhutang. Aku pernah menyuruh dia membuat satu bilik air yang selesa, walaupun aku tahu dia tak mampu. Aku tipu aku sakit perut sebab nakkan perhatian dia.

Allah... aku cucu yang tidak tahu diuntung!

***

Telefon berdering lagi. Kali ini sepupuku pula menelefon.

"Kak Cik, Chek nak cakap ni," Kata Adaa di hujung talian.

Telefon diberikan kepada datukku.

"Assalamualaikum Rah, duduk kat mana tu? Anak-anak macam mana? Kedai kat sana buka ke? Jaga diri tu," pesan Chek.

"Waalaikumussalam. Orang ada kat rumah dah ni. Anak-anak semua sihat. Makan cukup. Kedai semua buka. Senang nak beli makanan," jawabku ingin menghilangkan kegusaran dia.

"Tak apa lah kalau macam tu. Takut tak dapat makan je. Duduk molek-molek ye," sambungnya lagi.

"Ya Chek. Chek pon jaga diri. Jangan berjalan merata-rata," pesanku.

"Chek nak pergi rumah mu pon tak boleh ni. Polis jaga jalan," kata Chek lagi.

Aku tahu dia rindu. Teringin nak melawatku di sini. Tetapi dia tidak mampu.

Rinduku padanya juga terlalu dalam. Sudah lebih sebulan aku tidak menjenguk dia. 

'Bilakan Perintah Kawalan Pergerakan ini akan berakhir? Ya Allah... Kau jagalah dia untukku. Dia kesayanganku dunia akhirat.'

***

Hargailah orang yang kita sayang selagi dia masih ada. Berilah perhatian selagi mampu. Dia tidak pernah menagih wang ringgit dari kita. Hanya mengharapkan kita hidup bahagia di dunia dan akhirat. 

Saya sayang datuk saya!

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...