Tuesday, January 17, 2012

“Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah”


Teringat saya akan skrip dialog yang dipetik dari filem ‘Sepi’ arahan Khabir Bhatia

“Isteri bukan hak milik, tetapi anugerah”

Dialog itu cukup melekat dalam hati saya semenjak itu dan sering membuatkan saya terfikir-fikir. Dijadikan isteri itu sebagai anugerah bukan hak milik. Seseorang hanya akan merasa kaya apabila di merasakan dirinya mendapat anugerah yang istimewa dari Allah. Dan rasa kekayaan itulah yang dirasai apabila isteri itu dilihat sebagai anugerah Yang Maha Esa. Namun, sebaliknya jika kita merasakan isteri itu hak milik, maka kita tidak pernah akan merasa cukup dengan kemilikan itu, dan sentiasa merasa berwaspada akan kehilangannya.

Disebalik anugerah Allah itulah kita akan mendapatkan syurga. Hadith Rasulullah s.a.w sentiasa mengingatkan kita bahawa terlalu banyak kebaikan yang Allah ganjarkan kepada mereka yang berkahwin, sehingga disebut Rasulullah telah sempurna separuh dari agama, maka sebahagianlah disuruh kita bertakwa. Mengapa begitu besar ganjaran Allah disebalik anugerah itu yang sudah pastinya bukan sekadar mengkayakan kita didunia, malah menambah saham akhirat dengan lipat kali ganda? Jika ditanyakan pasangan yang berkahwin, sudah pasti mereka akan katakan, terlalu banyak peluang membuat kebaikan kepada isteri dan anak-anak yang seterusnya menjanjikan syurga.

Sering lelaki dan suami merasakan bahawa dialah ketua dan dialah yang paling tinggi kedudukannya didalam keluarga. Sehingga isteri itu perlu taat kepadanya. Ayat syurga isteri itu bergantung pada redha suami menjadikan suami kadangkala lupa bertanya diri dimana pula syurganya?

Pernahkah suami bertanya dimana syurganya didalam rumah tangga?
Sungguh Allah itu Maha Adil. Dia tidak menjadikan wanita itu sebagai kaum lemah yang mana kedudukannya di akhirat bergantung pada redha suami hanya untuk didominasi dan dipergunakan lelaki.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud:

“Bila isteri itu mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa bulan Ramadan, memelihara kemaluannya dan mematuhi suruhan dan larangan suaminya, maka akan dimasukkan dia ke dalam syurga.” (riwayat Abu Hurairah)

Mematuhi suruhan dan larangan suami dijadikan syarat Allah yang terakhir dalam hadith itu untuk wanita menjejaki syurga. Namun, Allah tidak menjadikan kewajipan itu semata-mata sia-sia kerana jaminan syurga itu bersifat mutual. Syarat ke syurga tidak hanya diletakkan kepada isteri, tetapi juga diletakkan kepada suami, sebagai bukti keadilan Allah.

Lantaran itu, Rasulullah SAW bersabda dalam hadisnya bermaksud:

“Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku”. (Riwayat At-Tirmizi)

Tidak sekadar itu, Rasulullah dalam hadith lainnya menyebut:

“Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik melayani isterinya”.(Riwayat At-Tirmizi)

Subhanallah, itulah bukti keadilan Allah agar kaun hawa tidak ditindas oleh lelaki yang ego mengatakan dialah ketua yang harus ditaati isterinya sedangkan dia melayani isteri dengan buruk.

Syurga yang dijanjikan Allah kepada isteri bersifat mutual kepada suami sekiranya dia melayani isterinya dengan baik. Jangan hanya sibuk memperingati isteri berkenaan syurganya, sebaliknya berfikirlah dimana syurgamu wahai suami dalam rumah tanggamu. Sudahkan kita melayani isteri kita sebaiknya dan memuliakannya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kita. Jangan hanya mempersoalkan hak-hak kita yang perlu dipenuhi isteri, sebaliknya tanyakan hak-hak isteri yang masih belum kita sempurnakan dan tunaikan.

Tulisan ini tidak lain dan tidak bukan sebagai peringatan kepada diri, andai nanti disaat terleka dan terlupa untuk bertanya dan bermuhasabah dimana syurgaku.

Sumber: http://www.ataphijau.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...