Sunday, August 14, 2011

Lahirnya Permata Hati Yang Ke-2

Ketika menulis entri tentang Sakit Perut pada 11 Ogos tu..memang sakit perut nak bersalin rupanya. Dari pagi sakit perut di sertai dengan keluar sedikit darah dan lendir. Kemudian, sakit menjadi lebih kerap dan semakin sakit menjelang jam 3pm. Terus aku call En Abg tanya dia balik kerja pukul berapa. Katanya jam 9pm. Namun aku memintanya balik lebih awal kerana perutku sudah semakin sakit. Lalu, dia mengatakan akan pulang jam 7pm++.

Selepas berbuka, solat Maghrib, En Abg bersihkan diri dan mandikan Umar, kami pergi ke Dewan Bersalin. Masa tu lebih kurang jam 8pm++. Setelah di periksa, jalan sudah pun terbuka sebanyak 3cm. Lalu aku terus di daftarkan untuk masuk wad. Namun, setelah Dr mendapati sakitku semakin kerap, aku ditahan di situ juga kerana bimbang aku akan bersalin lebih awal dari jangkaan mereka. Aku diletakkan di bawah pengawasan dan beberapa orang jururawat serta Dr sentiasa mengawasi aku. Pada jam 2am++, bukaan di periksa lagi dan kali ini sudah meningkat ke 4 cm.

Aku meminta kepada jururawat supaya membenarkan suamiku masuk menemaniku, namun permintaan aku tidak dipenuhi. Katanya, sekiranya mahu suami masuk, suami perlu memakai pakaian seragam. (Takkanlah malam-malam buta nak pakai seragam kan?). Disebabkan tidak berpakaian seragam, suami aku tidak dibenarkan masuk. Maka, terpaksalah aku menahan kesakitan seorang diri tanpa ada kata-kata semangat dari En Abg seperti kelahiran pertama dulu. (Sedih jugak menahan sakit seorang diri). Mulutku tak henti2 menyebut Allah, mengucap syahadah, berdoa dan baca apa-apa ayat yang aku ingat.

Lebih kurang sejam kemudian, seorang jururawat datang kepadaku dan mengatakan "lamanya kamu sakit...mari saya periksa jalan." Setelah diperiksa, bukaan sudah meningkat ke 6cm. Lalu dia memberitahu aku dia akan menolong aku supaya bukaan berlaku lebih cepat dan dia pun mengorek-ngorek dengan kuat (pada pendapat aku) menyebabkan aku menjerit dek kerana kesakitan yang teramat. (Tambah dengan sakit perut dan pinggang). Lalu hasil korekan itu, jalan terbuka kepada 7cm. Namun aku dimarahi kerana berbuat bising di situ (Menyebut "Allah..Allah.." ketika contraction sedang berlaku). Setelah itu jururawat terus menelefon ke Labor Room dan menyatakan bukaan sudah 7cm. Namun tiada bilik kosong ketika itu dan aku terus ditahan disitu.

Lebih kurang jam 4am, sakitku menjadi lebih kuat dan terasa ingin meneran. Dr datang kepadaku dan memeriksa bukaan. Lalu dia berkata kepada jururawat :"Bukaan sudah 'full', cepat call Labor Room". Maka bertungkus lumuslah para jururawat dan Dr menyiapkan aku dengan segera kerana bimbang aku akan terberanak kat situ. Dalam kesakitan itu, aku masih lagi sempat pesan kepada jururawat supaya memanggil suami yang setia menunggu di luar untuk menemani aku di Labor Room.

Setelah semua barang-barang sudah siap, Dr memecahkan air ketuban, dan para jururawat terus menolak aku ke Labor Room secepat mungkin. Dalam pada itu, aku terasa baby dah nak keluar sangat-sangat. Jururawat memberitahu kepada aku supaya jangan meneran, namun, proses itu terjadi dengan sendiri. Secara automatik perasaan mahu meneran itu datang dan sukar sekali untuk menahannya. Sehinggakan salah seorang daripada jururawat itu terpaksa mengepit kedua paha aku supaya baby tak keluar semasa dalam perjalanan. Sampai je di Labor Room, belum pon bertukar katil aku sudah 'ter'teran. Nasib baik baby tak keluar.

Dengan sakit dan tersiksanya rasa aku terpaksa beralih ke katil sebelah (dibantu jururawat) sambil menahan kesakitan yang sangat perit itu. Setelah beralih katil, terus aku meneran tanpa menghiraukan sesiapa. Namun sempat jururawat berpesan supaya jangan mengangkat punggung untuk mengelakkan dari berlakunya koyakan yang banyak. Tengah-tengah meneran tu aku ternampak kelibat si suami. Lega seketika..lalu dengan serta merta aku menyebut : "abang...". Dengan kata-kata semangat dari suami tercinta dan para jururawat, maka pada hari Jumaat yang mulia, 12 Ogos 2011 bersamaan dengan 12 Ramadhan 1432 H jam 4.46am, lahirlah seorang lagi umat Muhammad ke dunia ini. Alhamdulillah.


Sangatlah lega rasanya apabila baby dah keluar. Hilang segala rasa sakit dengan serta merta. Aku terus bertanya bayi itu lelaki atau perempuan. Namun tak ada seorang pun yang memberitahu kepada aku. Sebaliknya jururawat menunjukkan bayi aku dengan bertanya kepada aku, samada bayi aku itu lelaki atau perempuan. Lalu jawabku dengan perasaan bangga : "Lelaki".

Sementara bayi dibersihkan dan suami mengazankan, luka aku di jahit. Aduh..dek kerana luka yang banyak dan lukanya pada bahagian sensitif pula, teramatlah sakit rasanya bila dijahit hidup-hidup tanpa bius. Berbelas-belas jahitan kerana lukanya di kiri dan kanan. Namun kesakitan itu tidaklah seberapa jika nak dibandingkan dengan sakit contraction sebelum bayi keluar. Setelah siap dijahit, sekali lagi dugaan datang. Kaki aku tiba-tiba cramp. Ya Allah..dugaan sungguh. Namun dengan bantuan jururawat, sekejap sahaja kesakitan kaki aku beransur menjadi berkurangan.

Semasa dalam kesakitan (semasa contaction), aku teringat..dan terfikir, bagaimanalah ibuku melahirkan 13 orang anak. Ya Allah..sesungguhnya, terlalu besar pengorbanan seorang ibu. Semoga segala dosa ibuku diampunkan Tuhan yang Esa.

Di ruangan ini juga, aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada suami, Dr, jururawat dan semua kakitangan Hospital Serdang yang membantu aku melahirkan bayi ini. Semoga bayi ini membesar menjadi orang yang berguna kepada masyarakat dan soleh. Alhamdulillah dan terima kasih Ya Allah kerana membantu aku melahirkan hambamu ini. Jadikanlah dia seorang yang taat pada perintahmu Ya Allah..Aminn..






1 comment:

*Mawar Nafastari* said...

tahniah buat kamu sekeluarga...
dan syukur encik suami kamu berada di sisi semasa itu.. itulah semangat yg kita perlukan bila bersalin kan?.. huhu... tak dapat bayangkan bersalin tanpa suami ... betapa syukurnya saya diberikan kesempatan suami di sisi semasa melahirkan dua puteri .. :) semoga anak yg lahir itu menjadi anak yang soleh.. amin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...